Sunday, October 5, 2008

lama aku tak menulis ke dalam blog... aku 'signed in' tapi sampai ke hari ini, aku tak tahu ke mana hala tuju blog ni. Pertama-tama, asal aku wujudkan blog bertuah ni adalah sebagai wadah lidah tulisan untuk tatapan sesiapa sahaja yang sudi untuk membaca, aku tak jamin akan ada sebarang nilai ilmiah yang boleh dituai dari membacanya, tidak juga sebarang hiburan penawar duka... cuma baca dan baca, aku istilahkan sebagai baca hampa.

To be exact, hari ini adalah hari ke 6 umat islam seluruh dunia menyambut lebaran, di Malaysia sambutan datang dalam berbagai bentuk dan ragam, yang tua sekadar bermaafan, bersua teman handai lama. saudara mara jauh dan dekat bertandang, selalunya topik bualan tak jauh dari hanya menggamit kenangan silam, mentertawakan kebodohan diri suatu ketika dulu. Manusia, bodoh ketika ini. lucu ketika yang lain pula.

Anak muda, waktu inilah bagi yang hangat bercinta mencari peluang untuk bertandang kerumah sang kekasih dengan harapan si keluarga meberikan sedikit restu dalam hubungan, atau setidaknya datang untuk mencari sedikit ruang manalah tahu, umpan dipasang mengena pula di hari raya.

Sang anak kecil, gamat....

Apapun ragam yang datang dalam memeriahkan lebaran ini, ingatlah, ada diluar sana insan yang malang, saban tahun lebaran datang dan pergi tanpa sebarang erti, hidup ini umpama saru tali yang panjang, bergayutan disepanjangnya manusia dari satu hujung ke hujung yang lain, dihujung sini kebahagian dan dihujung sana sengsara, ingatlah pula tali itu adalah hayat yang dipinjamkan ALLAH, adat dipinjam, sampai waktunya mesti dikembalikan.

Sunday, March 16, 2008

Baru balik

minggu lepas dari rabu sampai ke sabtu, aku habiskan masa aku di Kuala Terengganu, bercuti. Wife cikgu, musim cuti sekolah ni lah yang sebaiknya untuk aku mohon cuti rehat aku yang setimbun tak habis tu.

Aku bertolak dari bangi pukul 4 pagi. Saja pergi awal sebab aku target nak sampai ke Kuala Terengganu dalam pukul 11 atau 12 tengahari. Memang pun aku sampai pukul 12. Tidur kat primula resort, tapi waktu 'check in' pukul 2 petang. Penyambut tetamu minta aku laki bini jalan-jalan dulu, lunch dulu ke, sementara bilik dikemaskan. Aku pulak dah exhausted, tenaga pun dah hujung-hujung je. Jadi aku berjalan le di Pantai Batu Burok. Hairan pula aku sebab ramai orang dok berkerumun sepanjang pantai, siap dengan polis lagi. Aku cuma agak waktu tu mungkin ada sukan keluarga. Tak tahu pula aku yang sebenarnya orang-orang tu tengah perhatikan orang lemas, cerita ni pun aku dapat tahu pada keesokannya bila mayat dijumpai pukul 5:00 pagi, waktu aku tengah lena diulit mimpi.

Tapi komen aku tentang Kuala Terengganu, Wow, memang cantik. Aku sempat melawat muzium, masjid kristal dan yang paling aku suka, Tasik Kenyir, rabak juga le poket aku bayar sewa bot RM150.00 tapi CUKUP BERBALOI, yang ini aku memang rekomen pada siapa-siapa yang berhajat untuk ke Teregganu. Aku dah budget tahun hadapan bila aku ke Terengganu lagi, aku nak bermalam di TASIK KENYIR. WOW

Tuesday, March 11, 2008

LAGI

Pilihanraya baru saja berlalu dengan keputusan yang mengejutkan ramai orang. Siapa sangka BN yang setelah 50 tahun memgang tampuk kuasa negara ini, tanpa disangka rebah di lima negeri. Ada banyak perkara dan faktor menjadi penyebab kepada kejatuhan ini. Tetapi secara peribadi, aku cuma berpendapat ini adalah isyarat yang jelas dari rakyat yang kalau pemerintah tidak memainkan peranan yang sepatutnya, mereka boleh saja disingkirkan.

Ada baiknya juga bila berlaku perkara macam ini. Apa tidaknya, 50 tahun bukan sekejap malah cukup lama untuk merubah seseorang itu untuk menjadi angkuh. Memang aku perhatikan kebanyakkan pemimpin BN semasa memerintah seakan lupa diri, mereka lupa di mana bumi ini mereka pijak, alpa akan langit yang mereka junjung. Aku tak nampak mereka ini turun ke padang dan lihat sendiri, rasa apa yang dialami oleh rakyat. Mereka senang, kesana kemari berkereta, berdrebar. Trafik jam, apa mau rasa, kenderaan polis dah buka ruang. Aku sepanjang bertugas di PJ ini, selama itulah hanya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Awal- awal dulu aku pandu sendiri, tapi bila kadar harga tol naik, harga petrol naik, rumah pula jauh, tak kira jam lagi, kira-kira perbelanjaan aku luar dari budget. Aku ambil keputusan naik komuter dan LRT. Ingatkan aku seorang saja, rupanya berduyun orang lain ambil keputusan sama guna komuter ke tempat kerja. Sesak stesen dibuatnya.

Lebih memeritkan jadual komuter dalam 10, 6 kali mesti tak ikut jadual. Perkara semacam ni walaupun kecil tapi aku kira sanagat signicant. Ye lah kalau dah aku lantik pemimpin untuk menjaga kepentingan aku dan rakyat lain tak buat apa yang sepatutnya, baik aku tendang saja, ganti orang lain. Kalau yang lain pun 2 X 5, so sendiri mau ingat le

Thursday, March 6, 2008

sambung

semalam aku bercuti. Ada beberapa perkara yang harus aku selesaikan. Semuanya peribadi yang tak perlu aku coretkan disini. Hari ini aku kerja seperti biasa, datang awal seperti selalu, "scan in" pukul 7:30 pagi. Naik ke tingkat 4 ke makmal aku, tarik kerusi keluar dari meja, 'on' kan komputer terus terbaca nota pesanan atas meja. Dari teman sekerja yang cute. Pesanan ringkas minta telefon sipulan binti sipulan di bagunan sebelah. Dah balik Jumaat pun aku tak juga telefon sipulan tu. Lepas ni terpaksa pulak ke bangunan yang satu lagi, arahan boss, ada taklimat katanya. Okay, boleh juga melelapkan mata (alasan terbaik untuk curi tulang).

Hari ni pakai jam baru, rambut baru potong, belum sempat nak buka mulut satu makmal dah sound dulu, baruuuuuu. Ini baru betul haru, anyway apa sajalah, asalkan masing-masing bahagia sudahlah.

Wednesday, February 21, 2007


Mulai hari ini, aku akan lebih menumpukan penulisan aku kepada apa yang aku rasa aku pakar. Genetik....
aku sampai kerumah dalam lebih kurang pukul 6:30 petang. Aku parking kereta dekat stesen komuter UKM. kemudian komuter jadi pengankutan aku hari-hari ke pejabat. Hari ini aku dah mula bekerja, setelah bercuti panjang sempena tahun baru cina. Aku dari pejabat punya bergegas untuk samapi kerumah. Bukan apa aku sekarang ni sedang mengikuti siri dragon ball saluran 25 animax astro. Semalam adalah pertarungan antara goku dan cici, sambungannya hari ini, tu yang kalut tu. Berpenat aku meredah orang ramai berebut masuk ke train komuter, dalam perjalanan hujan pula lebat. Terdetik juga dalam hati, hujan lebat macam ni astro boleh dapat ke siaran. Ostro pula sekarang tengah sibuk promosi satelit baru dengan dakwaan tak akan terganggu pada hari hujan. Okay sedap sikit hati aku. Komuter pula padat. Tapi demi dragon ball semua tu aku anggap tak lebih hanya cabaran. Sesampai di stesen UKM jam dah 6:20, aku dah risau takut tak sempat, cepat-cepat aku kekereta, hidupkan enjin redah hujan terus balik. Dalam perjalanan hujan semakin lebat. Kereta aku pula jenis tidak ber 'Air-cond', tak boleh nak tutup tingkap rapat. Kalau tidak mau berkabus cermin kereta dibuatnya. Dalam bersusah payah aku meredah hujan akhirnya sampai juga aku rumah. Aku masuk simpan kasut capai remote TV dan Astro. terus on, tup-tup tak ada service. Segala penat lelah aku tadi hilang jadi angin. Apa punya Astro, kata satelit baru tahan hujan, dua kali lima rupanya. Dengan hati yang berat aku melangkah longlai ketingkat atas. Buka baju masuk bilik air...... Hajat.

Monday, February 19, 2007

Baru balik dari berjogging. Tempat jogging kegemaran, Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi. Kelebihan taman ni, paling dekat dengan rumah aku. Mudah dan tepat. Ya lah kalau dah ada tempat berlari dekat-dekat dengan rumah apa pula kerja aku nak mencari sampai ke taman tasik perdana sana. Sebenarnya jogging waktu petang dah menjadi amalan aku setiap hujung minggu. Sebaik saja solat asar aku terus sarung kasut hidupkan enjin kereta pandu terus ke taman. Buat warm-up sedikit lebih kurang, hayun kaki sejauh mana larat.

Sepanjang berlari, mata aku meliar perhatikan sekeliling. Perhatikan pohon-pohon kayu yang terjaga elok oleh pihak MPJ (untuk ini aku banyak berterima kasih kepada mereka), perhatikan burung-burung bebas berterbangan, hinggap dimana dirasakan perlu, dirasakan selamat dan banyak rezeki. Perhatikan sampah sarap yang bertaburan, ironiknya sampah paling banyak terkumpul bersebelahan tong sampah. Tahap ini aku masih tidak faham apakah yang bermain di otak fikiran orang Malaysia. Dimanakah silapnya sehinggakan mereka tidak tahu yang mana sikap yang dikatakan baik dan terpuji dan yang mana pula tercela. Kebanyakkan yang berkunjung ketempat-tempat seperti ini biasanya berkeluarga, mereka datang membawa anak-anak dengan harapan anak-anak ini dapat menikmati keindahan taman, menghayati kedamaianya, memahami bagaimana flora dan fauna berinteraksi didalam jalinan harmoni bahasa alam. Penat berjalan si ayah belikan si anak ais krim, oleh kerana anak masih terlalu kecil si ayah tolong bukakan bungkusan ais krim untuk si anak nikmati dan si ayah........ dengan wajah yang selamba genggam bungkusan ais krim tadi dan dengan gaya pro bola keranjang bidik ke tong sampah dan campak.... bungkusan melayang tepat mengenai tepi pada bukaan tong sampah dan melantun keluar keatas rumput.... si ayah kecewa dengan pretasinya sebentar tadi, mengeluh mengambil nafas panjang dan berlalu membawa kembali si anak bersiar, kali ini perhatian anak lebih tertumpu menikmati ais krim. Bungkusan tadi terbiar diatas rumput ditepi tongnya.

Tidakkah si ayah terfikir, si anak dalam sedap menjilat ais krimnya juga memerhatikan tingkah laku si ayah. Pada pandangan si anak yang naif ini apa saja si ayah lakukan, padanya benar belaka, sementelah tidak ada sesiapa disekeling yang ambil peduli. Pemerhatian ini lekat difikiran si anak, ayahku sudah cuba sedaya upayanya untuk memasukkan sampah itu ke dalam tongnya, tetapi apakan daya ayah, balingannya tersasar. Tapi tak apa sekurang-kurangnya sampah kena juga ke tong. Lain kali kalau di perbetulkan teknik balingan harus masuk.